Cuaca hujan lebat di sekitar ibu kota Kuala Lumpur pada 18 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hujan lebat diramal landa empat daerah di Selangor, KL hingga 6 petang

SHAH ALAM, 14 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 6 petang ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan tersebut dijangka di negeri lain melibatkan daerah Sabak Bernam, Gombak, Petaling dan Hulu Langat serta seluruh Kuala Lumpur.

Manakala Perak meliputi Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Muallim; Pahang (Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Sarawak pula di Kuching (Bau dan Lundu) selain Sabah melibatkan Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Kunak dan Lahat Datu) dan Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :