Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Prihatin Rakyat DUN Kota Damansara di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),Petaling Jaya pada 4 September 2022.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah: Lebih 10,000 rakyat nikmati penjimatan berjumlah RM545,000

SHAH ALAM, 14 SEPT: Lebih 10,000 rakyat Selangor menikmati penjimatan kos barangan makanan asas berjumlah kira-kira RM545,000 menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER).

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata agensi itu turut memperoleh jumlah nilai jualan sebanyak RM1.04 juta di 54 lokasi melibatkan 17 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata berdasarkan sambutan hangat yang diterima pada minggu pertama, jumlah jualan dan agihan subsidi kepada rakyat Selangor dijangka akan bertambah.

“Untuk itu, PKPS telah menggerakkan seluruh warga kerja dan aset untuk memastikan program ini berjalan seperti yang diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tempoh hari.

“Kira-kira 100 kakitangan dan pegawai PKPS serta sukarelawan akan menyertai sembilan lori JER yang bergerak ke seluruh negeri pada setiap hari kecuali Isnin, bermula jam 9 pagi hingga 1 petang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setiap trak jualan membawa enam produk makanan asas iaitu ayam, daging, ikan, beras, minyak masak dan telur ayam.

“Lokasi jualan akan tertumpu di kawasan penduduk berpendapatan rendah dan miskin bandar dengan kerjasama daripada petugas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan pemimpin setempat,” katanya.

Program JER yang bermula 6 September sehingga 6 Disember hadapan menawarkan jualan harga barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Pada 30 Ogos lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan program JER yang dilancarkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.


Pengarang :