EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail meninjau kerja pemulihan prasarana luar di tapak projek terbengkalai pembesaran Kampung Koskan Bandar Serendah, Hulu Selangor pada 23 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri peruntuk lebih RM5 juta baik pulih projek terbengkalai di Kampung Koskan

HULU SELANGOR, 23 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.1 juta untuk pemulihan prasarana luar projek pembesaran Kampung Koskan di sini selepas terbengkalai 20 tahun.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata kerja pemulihan yang diuruskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor menggunakan peruntukan Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai.

“Kerja pembinaan kemudahan prasarana luar tapak projek ini melibatkan kerja tanah, struktur penahan tanah, kerja jalan, kerja saliran, retikulasi pembentungan, elektrikal dan pelbagai lagi.

“Kerja-kerja ditapak ini bermula pada 16 Mei lalu dan dijangka siap pada 14 November ini,” kata Rodziah Ismail ketika meninjau perkembangan projek berkenaan.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail meninjau ke tapak projek terbengkalai pembesaran Kampung Koskan Bandar Serendah, Hulu Selangor pada 23 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata kerja pemulihan prasarana berkenaan melibatkan 43 unit banglo setingkat atas tanah seluas 11.2 ekar.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan cadangan pemulihan ini pada 24 Julai 2019 dan peruntukan disalurkan setahun kemudian.

“Namun kerana negara berdepan Covid-19 dan perlu menjalani perintah kawalan pergerakan proses untuk pemulihan itu hanya dapat dilakukan pada tahun ini,” katanya yang memaklumkan status kemajuan pembinaan setakat ini hampir 62 peratus.

Kerja pemulihan prasarana luar sedang disiapkan di tapak perumahan terbengkalai pembesaran Kampung Koskan Bandar Serendah, Hulu Selangor pada 23 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata syarat pembinaan rumah disemak dan diperketat dari semasa ke semasa bagi mengatasi isu projek terbengkalai.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak berkuasa tempatan juga diarah mengenal pasti senarai pemaju bermasalah untuk menyiapkan projek seperti dijadualkan.

“Bermula 2008, Kerajaan Negeri melaksanakan dasar perumahan mampu milik yang melalui beberapa proses penambahbaikan demi menjaga hak serta kepentingan rakyat.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan pemaju yang hanya mementingkan projek rumah bernilai tinggi tetapi gagal menyiapkan projek rumah kos rendah,” katanya.


Pengarang :