Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan khemah (cubicle tent) kepada pegawai daerah Selangor ketika Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 29 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri sedia RM5 juta depani banjir dijangka hujung tahun

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sejumlah RM5 juta disediakan negeri bagi menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka berlaku hujung tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, sebanyak RM4 juta disumbangkan orang ramai menerusi tabung Covid-19 manakala baki RM1 juta akan disalur Kerajaan Negeri.

“Peruntukan ini digunakan untuk membeli alatan komunikasi seperti telefon satelit kerana bimbang jika bekalan elektrik terputus akan ganggu komunikasi,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor melibatkan 343 peserta dari 67 agensi di Bankuet Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Sebelum ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenal pasti lapan daerah di Selangor sebagai lokasi kerap banjir iaitu Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Berikutan itu, semua agensi diarah bersiap sedia berikutan jangkaan taburan hujan antara bulan ini hingga Disember boleh menyebabkan banjir, ribut dan tanah runtuh.

Sebagai persediaan, sebanyak 796 pusat pemindahan sementara (PPS) diwarta yang boleh menampung 151,000 mangsa banjir selain menempatkan 164 bot, lori dan pacuan empat roda di semua daerah.

 


Pengarang :