Kerja penyelengaraan tapak Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Terminal Skypark, Subang Jaya pada 5 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pameran Udara Selangor sedia aktiviti ‘joyride’ untuk pengunjung

SUBANG JAYA, 6 SEPT: Buat julung kalinya, Pameran Udara Selangor 2022 (SAS 2022) tahun ini membawa aktiviti ‘joyride’ menaiki kapal terbang dan helikopter kepada pengunjungnya.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata aktiviti itu dibuka kepada pengunjung pada hari terakhir pameran tersebut.

“Pada tahun ini, antara tarikan kita sediakan ialah ‘joyride’. Pengunjung ingin menaiki kapal terbang atau helikopter hanya perlu membayarnya pada kadar ditetapkan dan yang pasti berpatutan selama 10 minit.

“Untuk aktiviti ini, kita sediakan empat kapal terbang dan dua helikopter. Jumlah penumpang adalah mengikut kapasiti pesawat tersebut,” katanya.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim bercakap kepada media ketika lawatan tapak Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Terminal Skypark, Subang Jaya pada 5 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi pameran tersebut di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark  (Skypark RAC) di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Sementara itu, Chang Khim berkata pada hari yang sama juga pengunjung boleh bertemu dengan pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dalam sesi ‘meet and greet’.

SAS 2022 dijadual berlangsung di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC) bermula 8 hingga 10 September ini.

Antara syarikat mengesahkan penyertaan dalam SAS 2022 adalah Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Edisi pertama SAS diadakan pada 25 hingga 27 November tahun lalu menarik pelaburan sehingga RM100 juta dengan 12 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa dimeterai.


Pengarang :