SHAH ALAM, 29 SEPT: Projek tebatan banjir dalam Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) yang dikait dengan tangkapan kes rasuah membabitkan kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) belum bermula.
Namun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi jaminan Kerajaan Negeri sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes itu.
“Saya yakin kontrak SASuD belum dianugerahkan kepada kontraktor. Kalau kata tangkapan melibatkan projek banjir jutaan (ringgit) itu, ia tidak berlaku,” katanya.
Beliau ditemui ketika program Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor melibatkan 343 peserta dari 67 agensi di sini hari ini.
Amirudin menjelaskan pihaknya memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan, malah sedia membuat siasatan dalaman jika disarankan suruhanjaya itu.
“Kita juga sedia membuat siasatan dalaman sekiranya disarankan SPRM untuk mendapatkan bukti kukuh,” katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan SPRM menyerbu pejabat MBSA dipercayai berkaitan projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit.
SPRM menahan reman tiga individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.