Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 6 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rezeki anak baru lahir, bapa menang hadiah motosikal

SHAH ALAM, 6 SEPT: Seorang pemenang hadiah utama cabutan bertuah menganggap motosikal model Honda Wave 125i diperoleh daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai rezeki cahaya mata keempat yang baharu ditimangnya minggu lalu.

Mohd Dzayuzi Said, 42, terkejut apabila namanya diumum sebagai pemenang ketika bertugas di rerurai Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) peringkat daerah Petaling pada 24 Julai lalu.

“Alhamdulillah ini kali pertama saya dapat hadiah motosikal, mungkin rezeki bayi lelaki saya. Motosikal ini akan digunakan untuk ke tempat kerja memandangkan sudah 10 tahun saya hanya bergantung kepada kereta, jadi lebih jimat.

Mohd Dzayuzi Said, 42

“Anak-anak juga boleh merasa naik motosikal memandangkan sebelum ini mereka pernah minta saya bawa mereka naik motosikal,” katanya yang menetap di Klang.

Terdahulu, hadiah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek di Bangunan Darul Ehsan di sini hari ini sambil disaksikan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Seorang lagi pemenang bertuah Ahmad Fauzi Ishak, 36, tidak menyangka namanya turut dipilih sebagai pemenang hadiah utama ketika berkunjung ke jelajah bantuan rakyat di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai lalu.

“Memang terkejut memandangkan sebelum ini saya tidak pernah menerima apa-apa hadiah cabutan bertuah. Tujuan saya ke sana (JSP) untuk lihat apa aktiviti menarik yang disediakan dan kebetulan ada pula acara cabutan bertuah.

Ahmad Fauzi Ishak, 36

“Terima kasih kepada MBI kerana beri hadiah ini. Saya boleh guna motosikal untuk tujuan peribadi. Diharap acara sebegini diteruskan pada JSP akan datang,” katanya yang bertugas sebagai pegawai perhubungan awam.

Sementara itu, peniaga minyak wangi Muhamad Sahrul Nizam Yusop Sumata, 22, berkata penyertaannya dalam acara cabutan bertuah di JSP Kuala Selangor sekadar ‘suka-suka’ sebelum dipilih memenangi hadiah tersebut.

“Saya cuba daftar nama untuk acara itu, kemudian ke gerai untuk melayan pelanggan. Tiba-tiba nama diumum sebagai pemenang, memang saya terkejut tetapi terharu sebab kali pertama dapat hadiah sebegini.

“Insya-Allah motosikal ini akan dimanfaatkan untuk kegunaan harian, lagipun motosikal sedia ada sudah lama digunakan,” kata anak kedua daripada lima beradik yang menetap di Cheras.


Pengarang :