Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Sdn Bhd Yong Kai Ping menunjukkan dokumen sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara PNSB dan Sidec Sdn Bhd di DoubleTree by Hilton Shah Alami-City, Shah Alam pada 6 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PNSB lancar anak syarikat baharu, meterai kerjasama dengan Sidec

SHAH ALAM, 6 SEPT: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) hari ini melancarkan anak syarikat terbaharu, PNSB Innovation Ventures Sdn Bhd (PIV) yang akan meneroka peluang pelaburan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata menerusi PIV, PNSB mempunyai dana modal teroka yang boleh dilaburkan ke dalam syarikat pemula berpotensi.

“PNSB telah diberi mandat untuk menerajui dan menceburi dana modal teroka bagi Selangor serta ia merupakan satu bidang baharu selain pembangunan hartanah yang merupakan perniagaan teras kami.

“Langkah ini adalah selari dengan strategi syarikat untuk mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi bidang perniagaan baharu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City di sini hari ini.

Dalam majlis sama, PNSB turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) sebagai rakan kerjasama strategik bagi program Selangor Accelerator Programme 2022 (SAP).

Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

Kai Ping berkata SAP bermatlamat membantu syarikat pemula mempercepatkan pertumbuhan serta memajukan ekosistem permulaan di Selangor.

“Program ini telah bermula sejak lima tahun lalu. Pada tahun ini kita terima permohonan penyertaan yang amat menggalakkan daripada 225 syarikat.

“Namun Sidec hanya pilih 10 syarikat berpotensi yang akan kita tonjolkan di Silicon Valley, Amerika Syarikat pada tahun hadapan,” katanya.


Pengarang :