Ayzek Hakimi Safingan menyumbangkan emas keempat buat Selangor di Sukan Malaysia menerusi petanque acara Men Shooting di Arena Petanque, Kuala Lumpur pada 17 September 2022. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENDANASIONAL

SUKMA: Emas keempat buat Selangor menerusi petanque lelaki

SHAH ALAM, 17 SEPT: Selangor meraih emas keempat Sukan Malaysia (SUKMA) menerusi Ayzek Hakimi Safingan dalam petanque acara Men Shooting hari ini.

Berlangsung di Arena Petanque, Kuala Lumpur, pingat perak acara sama menjadi milik atlet Melaka Khairul Amirul Zamrul Hisham manakala gangsa Muhammad Syahmi Mohamad Nadzri (Wilayah Persekutuan).

Hari sama, Muhammad Aliff Aiman Mohd Hassri menyumbangkan emas ketiga negeri dalam acara memanah compound 50 meter di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.

Semalam, Selangor meraih emas menerusi M Gogulnath dalam acara kumite kategori individu lelaki bawah 75 kilogram dan emas pertama disumbangkan atlet wusyu Mandy Cebelle Chen sehari sebelum itu.

Selangor menyasarkan 40 pingat emas, 40 perak dan 45 gangsa untuk edisi kali ini yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September ini.

Seramai 490 atlet dan 75 jurulatih mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan yang dipertandingkan dalam SUKMA ke-20.


Pengarang :