AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

SUKMA: Pasukan karate lelaki sumbang emas kelima buat Selangor

SHAH ALAM, 18 SEPT: Pasukan karate lelaki menyumbang pingat emas buat kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) dalam acara kumite semalam.

Berlangsung di Pusat Sukan UiTM di sini kemenangan itu menjadikan Selangor berjaya mengumpul lima pingat emas setakat ini.

Majlis Sukan Negeri Selangor menerusi Facebook memaklumkan pasukan karate wanita menyumbangkan pingat perak dalam acara sama.

Pasukan karate wanita berjaya menyumbangkan pingat perak buat Kontinjen Negeri Selangor menerusi acara Kumite Berpasukan Wanita yang berlangsung di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor

Semalam, Selangor meraih dua pingat emas yang disumbangkan oleh Ayzek Hakimi Safingan dalam acara petanque dan Muhammad Aliff Aiman Mohd Hassri bagi acara memanah.

Emas pertama disumbangkan atlet wusyu Mandy Cebelle Chen, pingat emas kedua menerusi M Gogulnath dalam acara kumite kategori individu lelaki bawah 75 kilogram.

Selangor menyasarkan 40 pingat emas, 40 perak dan 45 gangsa untuk edisi kali ini yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September ini.

Seramai 490 atlet dan 75 jurulatih mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan yang dipertandingkan dalam SUKMA ke-20.

 


Pengarang :