– DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani plat perasmian sempena Majlis perasmian Masjid Ar-Raudhah, Shah Alam pada 12 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan berkenan rasmi Masjid Ar-Raudhah Puncak Perdana

SHAH ALAM, 12 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan merasmikan Masjid Ar-Raudhah Seksyen U10, Puncak Perdana di sini yang beroperasi sejak 2 Mei 2019.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sambil diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Turut serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dan Pegawai Daerah Petaling Mohd Jusni Hashim.

Mohd Jusni dalam sembah ucapan berkata masjid atas tanah seluas 4.5 ekar mula dibangunkan pada 23 November 2015 membabitkan kos RM13.46 juta dengan RM10 juta daripadanya dibiayai melalui Rancangan Pembangunan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Menurutnya, baki kos pembinaan masjid kariah itu dibiayai hasil sumbangan wakaf Yayasan Tan Sri Syed Mokhtar Bohari, Kerajaan Negeri dan ahli kariah.

“Masjid tersergam indah ini mampu menampung kapasiti jemaah seramai 2,500 orang pada satu-satu masa selain memberi kemudahan ibadat yang kondusif kepada 1.2 juta penganut Islam di daerah Petaling.

“Masjid ini kini berfungsi sebagai mercu tanda dan platform penyatuan ummah melalui pelbagai aktiviti pengimarahan yang diinisiatifkan oleh nazir serta seluruh ahli jawatankuasa masjid,” katanya.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis perasmian Masjid Ar-Raudhah, Shah Alam pada 12 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Sultan Sharafuddin yang tiba di masjid berkenaan sekitar jam 6.30 petang dipersembahkan dengan alunan bacaan al-Quran. Baginda kemudian menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah sebelum menyertai majlis santapan.

Mohd Jusni turut meminta supaya pentadbir dan jawatankuasa masjid di peringkat akar umbi mengambil inisiatif merancang aktiviti untuk manfaat penduduk setempat.

“Insititusi masjid sangat dekat dengan masyarakat. Ia bukan sekadar berfungsi sebagai tempat ibadat untuk memberi ketenangan spiritual bahkan perlu digerakkan sebagai pusat keilmuan.

“Masjid sebagai pusat ilmu yang dilaksanakan dengan sistematik mampu menjadikan institusi ini sebagai universiti sepanjang hayat,” katanya lagi.


Pengarang :