Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia A Rahim Kasdi menyerahkan baucar beli-beli RM100 kepada penerima pada majlis penyerahan di pasar raya Sri Ternak, Selayang Baru pada 8 Oktober 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat – Penyelaras DUN Gombak Setia
ADNSELANGOR

180 keluarga India DUN Gombak Setia terima baucar beli-belah Deepavali

SHAH ALAM, 9 OKT: Seramai 180 keluarga India berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia menerima baucar beli-belah RM100 sempena Deepavali semalam.

Penyelaras A Rahim Kasdi berkata agihan baucar di pasar raya Sri Ternak, Selayang Baru itu diharap dapat meringankan beban penerima dalam menyediakan kelengkapan raya.

“Seramai 180 orang hadir untuk pembelian di Sri Ternak semalam, penyerahan sesi kedua akan diadakan pada 16 Oktober nanti.

“Semoga sumbangan dapat meringankan beban serta memberi keceriaan kepada kaum India sebagai persiapan untuk menyambut perayaan Deepavali pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Menurut beliau secara keseluruhan seramai 400 individu di DUN berkenaan dikenal pasti layak menerima baucar beli-belah Deepavali.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar golongan berpendapatan rendah sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Tahun ini sebanyak RM8 juta dikhaskan untuk program Jom Shopping semua perayaan dengan RM3.34 juta dikhaskan sempena Aidilfitri pada Mei.


Pengarang :