BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Asal-usul, kontroversi dan kritikan terhadap Hadiah Nobel

Tanggal 3 Oktober 2022 lalu merupakan hari pertama Hadiah Nobel tahun ini diumumkan iaitu daripada kategori fisiologi atau perubatan yang dimenangi oleh Stevan Pääbo kerana jasanya dalam merintis teknik menjujuk (sequence) genom manusia-manusia prasejarah. Seterusnya, melahirkan disiplin baharu dalam paleontologi iaitu paleogenetic – mengkaji hidupan-hidupan purba daripada kaca mata genetik.

Hadiah Nobel berasal daripada Alfred Nobel, dikenali sebagai seorang pereka-cipta (inventor). Sebanyak sekitar 355 ciptaan Nobel dipatenkan. Ciptaan beliau paling dikenali adalah dinamit, sejenis bahan letupan. Dinamit banyak digunakan ketika Perang Dunia. Beliau juga merupakan pereka ballistite — bahan yang membentuk teknologi pelbagai jenis peluru roket di zaman moden.

Amnya, banyak ciptaan Nobel berasaskan letupan sehingga digelar sebagai Saudagar Kematian (Merchant of Death). Ciptaannya menjadikan Nobel sebagai orang yang sangat kaya raya. Nobel lebih beruntung apabila berlakunya peperangan kerana lebih banyak senjata dan bahan letupan perlu dibuat kerana permintaan yang tinggi daripada seluruh dunia.

Pada 1888, abangnya, Ludvig Nobel meninggal dunia. Media salah faham kerana mereka menyangka yang meninggal dunia itu adalah Alfred sendiri. “Dr Alfred Nobel yang menjadi kaya dengan menghasilkan ciptaan untuk membunuh lebih ramai orang dan lebih cepat daripada sebelumnya, meninggal dunia semalam.” — keratan akhbar Perancis pada ketika itu.

Nobel berasa ralat apabila membaca akhbar tersebut. Beliau tidak menyangka akan diingati sebagai pembunuh apabila beliau meninggal suatu hari nanti. Maka, Nobel buat keputusan untuk tinggalkan legasi yang lebih baik. Nobel berhasrat menukar wasiatnya. Nobel menulis wasiat supaya hampir kesemua harta dan asetnya (sekitar 94 peratus daripada hartanya) diguna untuk mencipta hadiah berprestij.

Hadiah tersebut dianugerah kepada mereka berusaha memberikan “manfaat teragung buat manusia” (greatest benefit on mankind) — moto Yayasan Nobel. Hadiah tersebut akan diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan negara asal. Daripada sini, lahirlah Hadiah Nobel, anugerah paling berprestij di dunia bagi perubatan, fizik, kimia, sastera, keamanan dan ekonomi.

Orang pertama yang menerima Hadiah Nobel adalah Wilhelm Röntgen iaitu hadiah dalam fizik kerana penemuan sinaran-x pada 1901. Marie Curie pula merupakan wanita pertama menerima Hadiah Nobel, iaitu pada 1903.

Kritikan Nobel

Proses pemilihan Hadiah Nobel adalah hampir sama bagi setiap kategori, cuma berbeza dari segi siapa yang mencalonkannya. Jawatankuasa Nobel akan menghantar borang pencalonan kepada 3,000 individu ulung, berkelayakan dan berkredibel dalam bidang masing-masing.

Biasanya borang ini akan dihantar pada September tahun sebelum penganugerahan. Misalnya untuk pencalonan Hadiah Nobel 2022, borang akan dihantar pada September 2021. Borang tersebut perlu dikembalikan pada Januari 2022.

Daripada 3,000 pencalonan diterima, Jawatankuasa Nobel akan senarai pendek sehingga 300 calon. Tiada siapa tahu individu yang dicalonkan. Jika pemenangnya dipilih, individu yang menang tidak akan diberitahu bahawa dia dipilih untuk menang. Seramai tiga orang maksimum dan dua maksimum jasa berbeza yang layak untuk menang, tidak lebih daripada itu.

Bidang fizik, kimia dan perubatan jarang dilanda kontroversi setiap kali pemenang diumumkan kerana bidang-bidang ini adalah bidang yang objektif. Pada 2017, apabila penemuan gelombang kegravitian mendapat Hadiah Nobel, tiada siapa yang dapat menafikan sumbangannya yang besar dalam dunia fizik.

Begitu juga apabila teknologi CRISPR yang berupaya menyunting DNA menang Hadiah Nobel Kimia pada 2020, tiada orang dapat menyangkal jasa teknologi tersebut untuk mencegah penyakit genetik.

Namun, bidang sastera, keamanan dan ekonomi begitu subjektif. Masyarakat mempunyai pandangan berbeza tentang konsep keamanan dan kadangkala tidak semua orang bersetuju dengan usaha “keamanan” yang dibawa.

Nobel Keamanan merupakan hadiah paling kontroversi. Pada 2009, Nobel Keamanan diberikan Barrack Obama kerana usahanya memperkuatkan diplomasi antarabangsa dan kerjasama antara manusia. Bancian dibuat mendapati 61 peratus rakyat Amerika Syarikat sendiri tidak bersetuju Obama menang hadiah tersebut.

Kita sendiri pun tahu walau Obama mungkin lebih baik daripada pendahulunya iaitu George W. Bush, dia tetap bukan orang yang layak. Ini bukanlah kali pertama sehinggakan Hadiah Nobel Keamanan sering dikritik kerana bermotifkan politik. Selain daripada Obama, Hadiah Nobel Keamanan diberi kepada Yasser Arafat, Henry Kissinger, Jimmy Carter dan Yitzhak Rabin turut mendapat kritikan meluas.

Hadiah Nobel Sastera pula dikritik kerana individu yang dianugerahkan tidak memberikan impak kepada manusia keseluruhan walau hasil karya sasteranya mungkin bagus.

Selain itu, Hadiah Nobel Sastera juga dikritik kerana kemungkinan bermotifkan politik sehinggakan banyak karya-karya agung yang memberikan impak kepada kemanusiaan diabaikan seperti yang berlaku kepada Leo Tolstoy, Henrik Ibsen dan Mark Twain.

Leo Tolstoy mendapat pencalonan dalam Hadiah Nobel Sastera dan Nobel Keamanan tetapi tidak pernah menang sedangkan kita akui sumbangannya dalam kedua-duanya begitu besar. Ada juga Hadiah Nobel Sastera dianugerahkan kepada individu yang dilihat menyokong keganasan seperti yang berlaku kepada Peter Handke pada 2019.

Apa-apa pun, Hadiah Nobel merupakan simbol berprestij dalam mempamerkan jasa dalam bidang saintifik dan sastera. Tiada anugerah yang lebih mengujakan di seluruh dunia melainkan Hadiah Nobel. Kita berharap media di Malaysia dapat menghangatkan berita penganugerahan Hadiah Nobel ini supaya dapat mencambahkan minat dalam bidang sains dan sastera dalam kalangan masyarakat.


Pengarang :