Foto Instagram pagipagiambyartranstvcorp
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Dari penghafaz al-Quran, kini lagu Casablanca jadi siulan ramai

Oleh Intan Syuhada Akhir

Pernah dituduh murtad hanya kerana tidak lagi menyanyikan lagu nasyid, bekas penyanyi kumpulan Zayne, Naufal Azrin kini bersyukur keputusan beralih kepada genre pop Arab diterima peminat.

Setakat Oktober 2022, video muzik lagu Casablanca dendangannya bersama Nuha Bahrin mencatat rekod 19 juta tontonan di YouTube selain menduduki carta teratas aplikasi lagu Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia.

Pada masa sama, lagu itu diguna pakai oleh 1.4 juta video di TikTok. Penangan media sosial menyebabkan lagu tersebut menjadi siulan ramai.

Naufal Azrin. Foto Instagram pagipagiambyartranstvcorp

Penyanyi asal Selangor ini mendedahkan sebelum lagu ciptaan Daqmie dan Abdul Karim Al-Ali itu meletup, beliau dikecam lantaran keluar kumpulan Zayne dan bergerak solo.

Peminat yang biasa dengan imejnya sebagai penyanyi nasyid terkejut dan kekok melihat artis itu menyanyikan lagu cinta bersama-sama seorang perempuan.

“Saya sangat minat menyanyi dan meraikan semua jenis muzik tak kiralah nasyid, rock dan pop. Bila saya tidak lagi menyanyikan lagu berentak nasyid, ramai yang berasa saya sudah berubah dan mempertikai keputusan saya. Ada yang tuduh saya murtad.

“Tapi saya tak boleh buat apa-apa dengan mulut orang. Saya berpegang kepada pendirian jika apa yang saya buat ini rezeki yang boleh membantu keluarga dan orang di sekeliling saya, maka saya akan teruskan,” katanya ketika ditemui Selangorkini baru-baru ini.

Penghafaz al-Quran yang pernah menuntut di Maahad Tahfiz Imam Syafie (Matis), Hulu Kelang, Selangor mula menceburi bidang seni sejak berumur 8 tahun. Pemuda berumur 23 tahun itu sering berselawat, qasidah dan menyanyikan lagu nasyid sejak zaman persekolahan.

Sebab itulah pemilik nama sebenar Ahmad Naufal Azrin tidak kekok menyanyikan lirik bahasa Arab dalam lagu Casablanca.

“Meski sudah biasa mengalunkan muzik berentak Arab, namun bagi mendapatkan sebutan yang betul dalam lagu Casablanca, saya ada juga merujuk kepada beberapa orang yang fasih bercakap dalam bahasa Arab seperti pencipta lagu ini. Ini kerana jika tersilap sebutan maka tersilap maksudnya,” katanya.

Kembang kerjaya

Tidak mahu momentum populariti pudar, Naufal cepat-cepat merangka strategi mengembangkan kerjaya. Memandangkan 60 peratus pendengar Casablanca dari Indonesia, Naufal terbang melakukan promosi di negara itu pada Ogos lepas.

Dia menerima undangan tiga stesen televisyen di republik berkenaan di samping merancang beberapa kerjasama dengan artis terkenal di sana yang namanya masih dirahsiakan.

“Sebenarnya, kebanyakan pendengar lagu Casablanca datang dari Indonesia. Bagi menghargai mereka, saya dan Nuha ke sana Ogos lalu. Ini pun saya anggap sebagai rezeki kerana saya tahu susah untuk penyanyi kita menembusi pasaran muzik Indonesia.

“Sepanjang di sana, saya menghadiri beberapa jemputan ke stesen televisyen dan radio di samping sesi bertemu peminat lagu Casablanca,” katanya.

Naufal turut menanam impian melebarkan sayap ke negara-negara Arab kerana cita rasa muzik masyarakat Timur Tengah hampir sama dengan Indonesia.

“Jika mereka suka seseorang artis, mereka akan sokong habis-habisan. Jadi saya fikir alangkah baiknya jika suatu hari nanti lagu-lagu saya juga boleh menembusi pasaran Timur Tengah.

“Kita cuba yang terbaik. Manalah tahu jika ada rezeki ke sana,” katanya.

Selain sibuk melakukan kerja promosi dan undangan persembahan, Naufal bakal tampil dengan karya solo terbaharu tidak lama lagi.

“Memang sekarang orang banyak melihat saya dan Nuha sebagai pasangan duet dan menyangka inilah jenama yang kami ketengahkan. Namun selepas ini, saya akan mempunyai lagu solo sendiri dan begitu juga Nuha. Semoga pendengar akan dapat menerima lagu itu nanti,” katanya.


Pengarang :