Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

I-Seed bantu usahawan bangkit, lulus permohonan tempoh singkat

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

KLANG, 23 OKT: Penerima manfaat program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) menganggap bantuan Kerajaan Negeri itu sebagai talian hayat meneruskan perniagaan pascabanjir

Pengusaha Pusat Ayurveda K Tanaletchmy. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI.

Pengusaha pusat ayurveda, K Tanaletchmy, 57, berkata bantuan tersebut membantunya bangkit selepas peralatan perniagaan di Klang Utama rosak dalam bencana banjir pada hujung tahun lepas.

“Saya menerima peralatan seperti pengering tuala elektrik, peralatan pencucian rambut dan rawatan muka.

“Dengan adanya bantuan ini barangan yang sangat saya perlukan untuk meneruskan perniagaan dapat diganti semula,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan I-Seed sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman di sini, hari ini.

Pengusaha Food Truck, M Nagendran. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Sementara itu, pengusaha food truck, M Nagendran,42, berkata urusan kelulusan I-Seed yang sangat cepat membuktikan bahawa Kerajaan Negeri memang mahu membantu peniaga.

“Dengan dokumentasi yang cukup dan menepati syarat kelayakan hanya satu hari saja permohonan saya sudah lulus dengan menerima peti sejuk dan ketuhar,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan berasaskan tosei di Seksyen 25, Shah Alam.

Program I-Seed dilancar pada 7 April tahun lalu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang mereka usahakan.

Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri ini.


Pengarang :