EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud bercakap kepada Media Selangor dalam wawancara khas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Individu suka sakiti diri disaran hubungi talian Sehat kongsi masalah

SHAH ALAM, 27 OKT: Individu mengalami sikap menyakiti diri sendiri (self harm) bagi melepaskan tekanan dinasihat menghubungi talian Selangor Mental Sihat (Sehat) untuk berkongsi masalah.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata menerusi tindakan itu, pesakit boleh mendapat bantuan dan meluahkan masalah kepada kaunselor bertauliah.

“Self harm adalah apabila anda menyakiti diri sendiri sebagai cara menangani perasaan yang sukar, kenangan yang menyakitkan atau melepaskan tekanan dalam diri.

“Jangan ambil mudah! Kongsi perasaan anda kepada kaunselor bertauliah. Kami sedia mendengar,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata kaunselor Sehat boleh dihubungi menerusi talian 1700-82-7536 dan 1700-82-7537 selain aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau layari http://www.drsitimariah.com/sehat .

Dr Mariah berkata tindakan sama turut disaran kepada pesakit psikosis iaitu individu yang mengalami gangguan pemikiran hingga tidak mampu membezakan antara pengalaman nyata atau sebaliknya.

“Sekiranya anda berada dalam situasi ini, jangan ambik mudah! Kongsi perasaan anda kepada kaunselor bertauliah,” katanya.

Kerajaan Negeri memandang serius isu kesihatan mental dan tahun ini sejumlah RM1 juta diperuntuk sebagai usaha menangani masalah berkenaan.


Pengarang :