Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Peranti Digital Yayasan Didik Negara (YDN) dengan kerjasama Yayasan AEON Malaysia (YAM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelibang, Langkawi pada 23 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Keputusan lembaga tatatertib terhadap guru bela nasib murid diketahui esok

PUTRAJAYA, 17 OKT: Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang bersidang hari ini berhubung isu guru Matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh akan memaklumkan keputusan dicapai kepada guru terbabit esok.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan akan diumumkan kepada Mohd Fadli melalui ketua jabatan guru Matematik itu sendiri.

“Persidangan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan berhubung isu tersebut baru sahaja tamat dan esok urus setia akan sampaikan keputusan kepada cikgu (Mohd Fadli),” katanya kepada pemberita semasa menghadiri program sukan ‘Touch’ di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang hari ini selepas menerima representasi yang dikemukakan oleh Mohd Fadli pada 14 Okt.

Pkharuddin berkata surat yang diterima Mohd Fadli tidak membawa maksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

Sebelum ini, Mohd Fadli mendakwa beliau berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau dalam hantaran di laman Facebook turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang didakwa boleh memudaratkan kesihatan.

Mengulas isu yang dibangkitkan oleh Mohd Fadli, Radzi berkata perkara yang diutarakan guru Matematik itu telah diambil tindakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata sebagai contoh isu beg berat yang menyaksikan KPM pada 6 Mac lepas telah memperkenal tujuh inisiatif bagi menangani perkara itu antaranya penyusunan jadual waktu dan pemasangan lokar.

Radzi juga berkata silibus ketika ini adalah yang diperkenal pada 2017.

“Saya telah jelaskan banyak kali yang KPM terbuka dan ambil pandangan semua pihak berhubung isu silibus ini, kita sentiasa semak silibus ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli politik untuk tidak menggunakan isu silibus sebagai modal kempen pada pilihan raya umum ke-15.

“Ahli politik jangan politikkan isu silibus kerana KPM memang sentiasa semak silibus ini dan kita mahukan yang terbaik.

“ …contohnya Undi18 dan silibus Matematik terlalu susah memang kita semak semula,” katanya sambil menambah KPM sentiasa bertemu guru bagi memperbaiki silibus pendidikan negara.

-BERNAMA


Pengarang :