Sebahagian pekerja warga asing yang bekerja secara sah menghuni di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi, Kajang. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

KSM larang campur tangan pihak ketiga dalam permohonan pekerja asing

PUTRAJAYA, 8 OKT: Kementerian Sumber Manusia (KSM) melarang sebarang campur tangan pihak ketiga untuk menyelesaikan masalah berkaitan permohonan pekerja warga asing yang dihadapi majikan.

Menurut KSM dalam kenyataan hari ini, campur tangan pihak ketiga hanya akan merumitkan proses permohonan serta terdedah kepada salah laku seperti rasuah atau kebocoran maklumat yang berkaitan, sehingga menyebabkan kelewatan dalam proses permohonan.

“KSM cakna dan memahami akan permasalahan di lapangan serta berupaya untuk menguruskan isu yang dihadapi oleh majikan berkaitan permohonan pekerja asing ini dan melaksanakan inisiatif terbaik untuk menyelesaikan masalah berkaitan.

“Namun, hal ini sentiasa diputar belit dan dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, majikan adalah dinasihatkan untuk terus berhubung dengan KSM bagi sebarang permasalahan yang dihadapi dalam memohon pekerja asing,” menurut kementerian itu.

Menurut KSM ia sentiasa terbuka untuk sebarang input yang diberikan oleh mana-mana pihak dalam menambah baik dan memudahkan proses permohonan pekerja asing.

Majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM ([email protected]) di talian 03-88852939/2940 atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ([email protected]).

– BERNAMA


Pengarang :