Timbalan Datuk Bandar MBSA Mohd Rashidi Ruslan (dua kanan) menunjukkan buku Bajet 2023 MBSA yang dibentang hari ini. FOTO SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA bentang Bajet 2023 bernilai lebih RM579.38 juta

SHAH ALAM, 11 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membentangkan sejumlah RM579.38 juta untuk anggaran perbelanjaan bagi tahun hadapan, kata timbalan datuk bandarnya.

Mohd Rashidi Ruslan berkata RM435.8 juta atau 75.2 peratus diperuntuk untuk belanja mengurus manakala RM143.5 juta (24.8 peratus) pula untuk pembangunan.

“Anggaran perbelanjaan mengurus ini bertambah sebanyak RM41.6 juta berbanding pada tahun lalu. Peruntukan mengurus ini merangkumi perbelanjaan perbandaran, saliran, jalan dan landskap.

“Selain itu, sejumlah RM74.36 juta defisit akan ditampung dengan menggunakan rizab MBSA,” katanya selepas pembentangan Bajet 2023 yang bertemakan Shah Alam Lestari dan Tahan Uji di Wisma MBSA di sini, hari ini.

Tambah Mohd Rashidi, anggaran hasil pada tahun hadapan juga dijangka meningkat sebanyak RM17.6 juta iaitu RM505 juta berbanding RM487.3 juta tahun lalu.

“Hasil cukai menyumbang sebanyak RM338.4 juta atau 67 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil iaitu anggaran peningkatan hasil cukai taksiran RM7.3 juta berbanding anggaran tahun semasa.

“Hasil bukan cukai pula dijangka akan menyumbang sebanyak 31 peratus atau RM157.05 juta daripada jumlah keseluruhan hasil. Hasil bukan cukai dijangka bertambah sebanyak RM10.39 juta iaitu 7.1 peratus berbanding anggaran tahun lalu,” katanya.


Pengarang :