Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar bercakap kepada media selepas merasmikan Taman Permainan Inklusif sempena hari Autisme Sedunia di Taman Reakrasi USJ 11, Subang Jaya pada 22 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ anggar belanja RM316 juta tahun depan, realisasi bandar raya pintar

SUBANG JAYA, 13 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mencadangkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM316 juta bagi mencapai status bandar raya pintar dan lestari tahun depan.

Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar berkata sebahagian besar daripada peruntukan tersebut digunakan bagi belanja mengurus manakala selebihnya belanja pembangunan.

“Bajet yang dirangka hasil sesi pendengaran awam bersama komuniti dan pemegang taruh akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk kelulusan.

“Bajet (tahun depan) merupakan bajet berimbang memandangkan sebelum ini kita belanja lebih daripada apa yang kita peroleh.

“Walaupun bajet majlis disediakan PBT, tetapi cadangan ini akan diangkat kepada pihak berkuasa negeri dan memerlukan kelulusan,” katanya selepas majlis pelancaran program latihan pembangunan usahawan mikro di ibu pejabat MBSJ di sini.

Turut hadir Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali, Pengarah Pelesenan MBSJ Nik Zalina Megat Muda dan Pengurus Jabatan Digitalisasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Siti Nur Hazwani Md Sabudin.

Mengulas lanjut, Johary berkata buat pertama kali pihaknya memasukkan peruntukan RM3 juta bagi melaksanakan program geran komuniti dengan permohonan boleh dibuat melalui persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ini antara tumpuan dalam bajet tahun depan, malah kita juga akan membina dua medan selera baharu di SS19 dan Tasik Serdang bagi membolehkan usahawan berniaga.

“Manakala peruntukan untuk baik pulih infrastruktur, jalan dan pengurusan sisa pepejal diteruskan seperti biasa kerana sememangnya rutin kita setiap tahun,” katanya.


Pengarang :