Kakitangan Platform Selangor (Plats) mempromosi kaedah jualan menerusi platform digital ketika Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Platform niaga digital negeri hampiri sasaran 20,000 peserta

SUBANG JAYA, 14 OKT: Platform Selangor (Plats) semakin mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 17,979 peniaga dan penjaja kecil seluruh negeri berdaftar setakat ini.

Pengurus Jabatan Digitalisasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata jumlah tersebut menghampiri sasaran 20,000 penyertaan sehingga akhir tahun ini.

Menurut Siti Nur Hazwani Md Sabudin, peniaga bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merekodkan angka pendaftaran tertinggi dengan menyumbang 20 peratus daripada bilangan keseluruhan.

“Kita mula bekerjasama dengan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) tahun lalu dan jumlah pendaftaran ketika itu sekitar 7,745 sahaja.

“Tahun ini kerjasama diteruskan dengan kesemua 12 PBT kerana peniaga pasar pagi, pasar malam dan medan selera paling ramai berniaga bawah PBT. Alhamdulillah, terdapat tambahan lebih 12,000 pendaftaran,” katanya.

Ditemui selepas program latihan pembangunan usahawan mikro di sini semalam, beliau berkata kempen kesedaran dipergiat bagi menggalakkan lebih ramai usahawan beralih kepada platform perniagaan digital.

“Sebanyak 60 program dirangka tahun ini dengan 40 daripadanya sudah dijalankan. Kita percaya baki program akan selesai menjelang hujung tahun.

“Saya menyeru kepada mana-mana peniaga supaya mengambil peluang ini kerana pendaftaran percuma sekali gus membuka ruang buat mereka berniaga secara dalam talian,” katanya lagi.

Plats diperkenal dua tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem agenda pendigitalan Selangor susulan penularan Covid-19 dan ditambah baik bagi memastikan peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.


Pengarang :