EXCO Perumahan Rodziah Ismail mendengar penerangan berkenaan lampu diod pemancar cahaya (LED) selepas merasmikan pemasangan lampu LED di Pangsapuri Vista Seri Putra, Hulu Langat pada 6 Oktober 2022. Foto Facebook Rodziah Ismail
AGENDANASIONAL

Negeri sasar 10 peratus kediaman strata guna lampu LED tahun ini

SHAH ALAM, 14 OKT: Sebanyak 10 peratus kediaman strata di seluruh Selangor disasar menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED) menerusi inisiatif Bangunan Hijau tahun ini.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata insiatif berkenaan mendapat kerjasama Synergy Group yang memperuntukkan RM400 juta dan dijangka memberi manfaat kepada penghuni di 6,000 bangunan.

Beliau menambah, setakat ini 27 bangunan strata menyertai program berkenaan dan enam daripadanya telah siap dilengkapi kemudahan berkenaan.

“Setakat ini, sebanyak 581 pengurusan bangunan telah ditemui dan berharap berharap program ini dapat dipercepatkan selepas isu teknikal berkaitan Akta 757 dihadapi pada peringkat awal perancangan telah diselesaikan.

“Sasaran 10 peratus adalah permulaan dan kerajaan negeri akan berbincang dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk meletakkan pelan tindakan supaya sasaran dapat dicapai 100 peratus dalam tempoh lima hingga 10 tahun,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Berucap ketika melancarkan pemasangan lampu LED di Pangsapuri Vista Seri Putra, Bandar Seri Putra baru-baru ini, Rodziah berkata kemudahan itu menyumbang kepada inisiatif hijau, menjimatkan tenaga dan tahan lama.


Pengarang :