Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur pada 5 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Polis selamatkan warga Palestin diculik, tahan 18 individu

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Polis menyelamatkan seorang lelaki warga Palestin, sehari selepas diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di Jalan Yap Kwan Seng, di sini pada 29 September lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata mangsa yang berusia 31 tahun diselamatkan selepas pihaknya menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka bermula 29 September hingga semalam.

“Kesemua 18 individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 42 tahun disyaki berperanan menculik dan menyembunyikan mangsa.

“Siasatan mendapati mangsa masuk ke negara ini pada 21 September lepas sebagai pelancong dan dipercayai tinggal di Eropah,” katanya kepada pemberita pada majlis pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Azmi berkata siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif penculikan dan tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan ahli perniagaan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati tujuh individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah melibatkan kes penipuan dan empat daripadanya positif dadah jenis syabu.

Menurutnya kesemua individu yang ditahan kini direman sehingga 18 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Terdahulu, Azmi pada sidang media tersebut berkata dadah jenis syabu antara dadah yang merekodkan rampasan serta tangkapan tertinggi di Kuala Lumpur menerusi statistik dicatatkan dari 2005 hingga 2021 dianggarkan bernilai RM10.85 juta.

Selain itu, beliau berkata pelupusan dadah turut melibatkan antaranya dadah jenis methapatamine, kanabis, air ketum dan ketamin membabitkan 2,894 kertas siasatan.

“Anggaran berat keseluruhan dadah yang dilupuskan adalah 224,638 gram dan 139,295 mililiter serta dianggarkan bernilai RM16.89 juta,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :