Datin Seri Masdiana Muhamad menyampaikan anugerah kepada pemenang ketika majlis perasmian Hari Demo Pemecut Fesyen Selangor (SFA) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program pemecut fesyen bantu pengusaha busana sopan kembangkan niaga

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Penganjuran program Pemecut Fesyen Selangor (SFA) disambut baik kerana membantu pengusaha busana sopan mengembangkan perniagaan dan meneroka pasaran lebih luas.

Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata langkah diambil Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) adalah tepat berikutan industri terbabit semakin berkembang hingga menghasilkan pulangan berbilion ringgit.

“Malaysia adalah salah satu pasaran terbesar dunia dalam ruang fesyen busana sopan yang menjadi inspirasi kepada beberapa pereka yang menolak sempadan busana tradisional dan membangkitkannya semula.

“Melalui SFA, saya berharap Kerajaan Negeri dapat memartabatkan landskap fesyen negara secara digital,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad ketika merasmikan Hari Demo SFA di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Datin Seri Masdiana Muhamad berucap ketika majlis perasmian Hari Demo Pemecut Fesyen Selangor (SFA) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Isteri Dato’ Menteri Besar itu berkata industri fesyen perlu bergerak ke arah pendigitalan kerana amat berguna dalam kemajuan perniagaan, penjenamaan dan mencipta reputasinya di mata pengguna.

Katanya, program terbabit menawarkan bengkel untuk meningkatkan pengiktirafan jenama dalam pasaran, selain memberi sokongan kepada syarikat pemula serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Selain itu, usaha Sidec ini juga dapat mencungkil bakat dan menguji pereka fesyen busana sopan,” katanya.

Program julung kali itu menyenaraikan 16 usahawan fesyen terbaik kategori berkaitan yang disenarai pendek pada Julai lalu namun hanya enam terpilih menbentangkan kertas kerja dan sesi memperagakan rekaan fesyen di hadapan tujuh juri.

Jenama Kalima Textile diumumkan sebagai pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 dan tapak reruai bernilai RM10,000 dalam pertunjukan ‘My Gaya Month’.


Pengarang :