Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis mengenai persiapan aset untuk kegunaan banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 12 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Siap siaga hadapi bah, bomba kerapkan ronda 52 lokasi berisiko

SHAH ALAM, 12 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengutamakan rondaan di 52 kawasan berisiko banjir susulan monsun timur laut yang dijangka melanda sehingga Januari.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarahnya Norazam Khamis berkata strategi itu akan dilakukan dengan kerap terutama ketika paras air sungai meningkat dan hujan setiap hari.

“Anggota juga diberi pendedahan mengemudi bot bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran terutamanya di kawasan berarus deras seperti di Taman Sri Muda.

“Kita memiliki 72 bot dan menggerakkan aset ini ke kawasan berisiko seperti Petaling. Kita juga akan gunakan bot dari kawasan kurang berisiko seperti Sabak Bernam ke lokasi dinaiki air,”katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kesiapsiagaan JBPM Selangor menghadapi monsun timur laut di Balai Bomba Seksyen 15, di sini, yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu Norazam berkata cuti setiap anggota disusun bagi bagi memastikan bomba negeri sentiasa dalam siap siaga serta melancarkan proses mencari dan menyelamat mangsa banjir.


Pengarang :