Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengaminkan bacaan doa olehTimbalan Mufti Selangor Sahibus Samahah Prof Madya Dr Miszairi Sitris sempena Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 6 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor nasihat mufti, agamawan elak berbalah di ruang awam

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 6 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menasihatkan mufti dan agamawan agar menghindarkan diri daripada perbalahan agama di ruang awam membabitkan isu berbangkit yang sudah diputuskan bersama dalam ruang muzakarah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah perbalahan seumpama itu tidak seharusnya menjadi tontonan awam kerana ia hanya merendahkan kewibawaan ulama dan sewajarnya dibincangkan dalam muzakarah.

“Sepanjang 2022, salah satu isu yang membangkitkan rasa dukacita Beta ialah perbalahan tentang keputusan muzakarah bagi Tarekat Naqsyabandi al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim al- Haqqani.

“Isu ini tidak sepatutnya dipanjangkan lagi kerana ia telah diputuskan secara konsensus oleh mufti dan ahli muzakarah yang hadir pada 2020 di Kuantan yang memutuskan selepas kajian semula tarekat ini boleh diamalkan oleh pengikutnya.

“Sebab itulah Beta menzahirkan titah pada 9 April bahawa sebarang polemik terhadap tarekat ini hendaklah dihentikan segera bagi menghormati keputusan muzakarah 2020 yang telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada 2021,” titah Baginda.

Berucap dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia di sini, Sultan Sharafuddin bertitah jawantankuasa itu perlu merangka peraturan dan adab perbezaan pendapat antara ahli.

“Sekiranya ada mufti atau ahli yang memilih pendapat yang tidak mengharuskan sesebuah amalan yang terjadi khilaf dalam kalangan ulama terdahulu, setidak-tidaknya perlu ada Adabul Ikhtilaf, sikap ‘agree to disagree’ dan beradab dalam berbeza pendapat,” titahnya.


Pengarang :