Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ubat batuk sebabkan 66 kanak-kanak maut tidak berdaftar di Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Empat produk sirap ubat batuk dan selesema keluaran Maiden Pharmaceuticals di India, yang dikaitkan dengan kematian 66 kanak-kanak di Gambia adalah tidak berdaftar di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua produk tersebut ialah Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.

Beliau bagaimanapun berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan terus menjalankan pemantauan berkaitan kejadian itu untuk memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan di negara ini terjamin.

“KKM akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai empat produk ubat yang dikilangkan oleh Maiden Pharmaceuticals itu, malah Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran bahawa ubat-ubatan yang tercemar itu mungkin sudah diedarkan di luar negara Afrika Barat dengan ‘kemungkinan wujud pendedahan global’.

Dalam kenyataan berasingan, Dr Noor Hisham memaklumkan tiada kemasukan dua produk Mi Sedaap keluaran Indonesia yang dikesan mengandungi ethylene oxide iaitu racun perosak yang tidak dibenarkan penggunaannya dalam makanan berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Produk terlibat adalah Mi Sedaap Korean Spicy Chicken Instant Noodles dengan tarikh luput 21 Mei 2023 dan Mi Sedaap Korean Spicy Soup Instant Noodles dengan tarikh luput 17 Mac 2023.

Beliau menjelaskan ethylene oxide merupakan sebatian gas kimia bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membasmi makhluk perosak seperti serangga.

“KKM akan terus menjalankan pemantauan di pasaran dan mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) di semua pintu masuk negara. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,” tambahnya.

-BERNAMA


Pengarang :