Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Usah bimbang amaran cuaca buruk dikeluarkan kedutaan AS

SHAH ALAM, 3 OKT: Orang awam tidak perlu bimbang dengan amaran cuaca buruk dikeluarkan laman sesawang kedutaan Amerika Syarikat (AS) kepada rakyat mereka di negara ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjelaskan negara mengalami Monsun Timur Laut (MTL) setiap tahun dan MTL 2022/2023 dijangka bermula pertengahan November sebelum berakhir Mac tahun depan.

“Orang awam dinasihatkan untuk bersiap sedia sewajarnya dan tidak merasa terlalu bimbang dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan,” menurut METMalaysia dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu memaklumkan pemantauan cuaca dilakukan 24 jam sehari sepanjang tahun dengan amaran cuaca dikeluarkan sekiranya dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat berterusan, angin kencang, laut bergelora dan siklon tropika.

Tambah METMalaysia, amaran cuaca tersebut akan dihebahkan melalui pelbagai saluran kepada orang awam termasuk warga AS di Malaysia.

“Orang awam disarankan mengikut arahan agensi pengurusan bencana negara semasa kejadian banjir dan diminta lebih peka dengan sebarang perubahan cuaca,” kata kenyataan itu.

Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman sesawang www.met.gov.my , aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia serta Hotline di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Malam tadi, Kedutaan AS mengeluarkan amaran cuaca buruk kepada rakyat negara itu yang berada di Malaysia sebagai persediaan berdepan hujan lebat, ribut dan banjir bermula bulan depan.

Berdasarkan amaran dikeluarkan di laman sesawang Kedutaan AS di Kuala Lumpur rakyat negara itu diingatkan untuk bersiap sedia berdepan musim siklon tropika di Laut Pasifik Selatan bermula 1 November hingga 30 April tahun depan.


Pengarang :