Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanatnya kepada penduduk ketika hadir berkempen di Kampung Indian Settlement Batu 8, Gombak pada 12 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin guna pengalaman selesai isu tanah di Gombak

GOMBAK, 12 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari akan menggunakan pengalamannya untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah dihadapi 60 keluarga di Kampung Indian Settlement Batu 8 di sini.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak itu pernah menyelesaikan isu sama di Batu Caves selaku Dato’ Menteri Besar dan Ahli Dewan Negeri Sungai Tua.

“Kita boleh merancang kembali di mana tapak sesuai untuk bina dan paling tidak penduduk sini dapat hak menduduki tanah mereka,” katanya selepas menyertai majlis bersama penduduk kawasan itu hari ini.

“Kalau betul-betul ada perancangan kita boleh alihkan (penduduk) ke tanah lain seperti di Kampung Indian Settlement Batu Caves. Kita selesai 77 tapak dan lebih 50 di Kampung Batu Arang.”

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa penduduk ketika hadir berkempen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Kampung Indian Settlement Batu 8, Gombak pada 12 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan selaku pemilik tanah yang difahamkan belum mempunyai dana melaksanakan projek pembinaan sekolah.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan masalah tersebut bukan hanya dialami komuniti India tetapi beberapa keluarga Melayu yang telah menduduki tanah berkenaan sejak sekian lama.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar bagi Parlimen Gombak.

Beliau mencabar penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.


Pengarang :