Suasana di pusat penempatan sementara (PPS) Masjid Kampung Johan Setia ketika tinjauan berkenaan bencana banjir yang melanda beberapa buah kawasan di Selangor pada 17 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ban pecah: Dua pusat pemindahan dibuka di Sepang

SHAH ALAM, 30 NOV: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka malam tadi berikutan Kampung Ampar Tenang dan Kampung Sri Tanjung di daerah Sepang dinaiki air sejak petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor melaporkan dua PPS di Dewan Taman Gemilang dan Dewan Orang Ramai di Dengkil menempatkan seramai 103 mangsa daripada 29 buah keluarga.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis memaklumkan terdapat insiden ban pecah berlaku susulan hujan lebat di Kampung Ampar Tenang yang menyebabkan terdapat limpahan air daripada projek perumahan berhampiran.

Katanya, kejadian tersebut menyebabkan berlaku banjir dengan kedalaman air setinggi 1.22 meter yang menjejaskan 10 buah rumah.

“Semua penghuni terdiri daripada 18 keluarga telah berpindah ke tempat selamat lebih awal dan pihak bomba terus membuat pemantauan serta membantu penduduk di lokasi,” katanya dalam kenyataan.

Bernama sebelum ini melaporkan hujan berterusan sejak 2 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di Sepang dekat sini dan Putrajaya dilanda banjir kilat.

-BERNAMA


Pengarang :