Pengguna Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) menunggu giliran untuk menaiki pengangkutan awam itu ke destinasi masing-masing ketika tinjauan di Stesen LRT Pasar Seni pada 25 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Komponen sistem disambar petir punca gangguan LRT Kelana Jaya

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berpunca daripada Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES) yang aktif secara tiba-tiba disyaki disambar petir di Stesen LRT Kerinchi petang tadi.

Rapid Rail Sdn Bhd (RapidKL) selaku pengendali perkhidmatan dalam kenyataan hari ini menyebut susulan gangguan teknikal yang berlaku pada 5.46 petang itu, tren dari kedua-dua arah tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

“Akibat daripada gangguan itu, semua tren yang melalui kawasan berkenaan terpaksa dipandu secara manual. Ini mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan platform berlaku di beberapa stesen,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan kakitangan teknikal sedang berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih.

Perkhidmatan bas perantara percuma telah disediakan bagi membawa penumpang dari Stesen LRT Bangsar ke Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen LRT KLCC ke Stesen LRT Pasar Seni.

Kakitangan operasi dan Polis Bantuan turut ditempatkan di platform bagi mengendalikan orang ramai.

Rapid Rail turut memohon maaf kepada pengguna yang mengalami kesulitan akibat gangguan itu.

– BERNAMA


Pengarang :