Sebuah bas membawa kira-kira 60 pelajar universiti dipercayai terbabas sebelum terbalik di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim pada 10 November 2022. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Bas bawa pelajar universiti terbalik di Tanjung Malim, 11 cedera ringan

IPOH, 9 NOV: Sebuah bas membawa kira-kira 60 pelajar universiti dipercayai terbabas sebelum terbalik di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim lewat petang tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada kira-kira 7 petang.

“Kemalangan melibatkan bas terbabas sendiri selepas Simpang Kota Malim Prima. Siasatan awal mendapati 11 orang penumpang termasuk pemandu mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan perkembangan kes akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Mohd Zairul Fahmi Mohd Nazari ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya telah ke lokasi kejadian bagi kerja menyelamat.

— BERNAMA


Pengarang :