Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Kuala Langat G Manivanan berswafoto dengan penduduk ketika ceramah umum di Pekan Banting, Kuala Langat pada 15 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon beri jaminan pengundi Kuala Langat tidak sesal pilih HARAPAN

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KUALA LANGAT, 15 NOV: Pengundi Parlimen Kuala Langat tidak akan kecewa jika memilih dan memberi mandat kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Calon HARAPAN Parlimen Kuala Langat G Manivanan berkata kepercayaan tinggi pucuk pimpinan parti untuk beliau mewakili penduduk kawasan itu tidak akan disia-siakan.

“Sudah tentu (rakyat tidak akan menyesal memilih) Pakatan Harapan. Saya dihantar ke sini oleh pucuk pimpinan parti iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli.

“Dari mulut pimpinan kanan ini sendiri kepercayaan yang diletakkan kepada saya agak tinggi dan sudah pasti saya perlu mengotakan tanggungjawab itu,” katanya ketika program Jelajah Mega Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Katanya, enam tawaran HARAPAN Kuala Langat yang dibentangkan sebelum ini adalah manifestasi kesungguhan beliau untuk berbakti kepada rakyat kawasan itu.

Sebelum ini, Manivanan mengumumkan enam tawaran HARAPAN antaranya menaik taraf perkhidmatan di Hospital Banting dan klinik kesihatan serta memperkenalkan dasar komprehensif untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Selain itu, pelajar sekolah dibekalkan suasana pembelajaran dan pengajaran kondusif, penubuhan Kelab Kasih Wanita Kuala Langat serta cadangan pembinaan kompleks sukan mini dan trek lumba motosikal.


Pengarang :