Anggota polis menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Klang, pada 15 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR: Hampir 95 peratus tunai tanggungjawab undi awal hari ini

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Sejumlah 94.72 peratus atau 212,961 pengundi melibatkan anggota keselamatan dan pasangan telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15, dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, di Sabah hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan malam ini berkata proses pengundian awal itu membabitkan anggota tentera dan pasangan, anggota polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan.

Justeru beliau berkata SPR merakamkan ucapan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik bagi proses pengundian awal itu yang bermula 8 pagi.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan PRK DUN Bugaya. – BERNAMA


Pengarang :