Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk R Ramanan berucap di ceramah Mega Paya Jaras di Tapak Pasar Malam Paya Jaras sempena kempen pilihan raya umum ke-15. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon cadang bina pusat sukan untuk belia di Sungai Buloh

OLEH NASUHA BADRUL HUZAINI

SHAH ALAM, 7 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh bercadang membangunkan kompleks sukan mega untuk belia di kawasan itu jika memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut Datuk R Ramanan, pusat sukan sedia ada tidak mempunyai ruang sesuai untuk menjalankan aktiviti kegemaran golongan itu seperti sepak takraw, badminton dan futsal.

“Saya bercadang membangunkan sebuah pusat sukan mega, sesuatu yang mampu kita lakukan di kawasan itu selain tawaran lain daripada HARAPAN pada PRU15.

“Selain itu, kita juga bercadang mewujudkan ruang khas dan kemudahan untuk e-sukan, yang semakin popular dalam kalangan belia,” katanya pada program Ceramah Mega di Sungai Buloh malam tadi.

Dalam pada itu, Ramanan berikrar untuk menggunakan sepenuhnya gaji ahli parlimen sepanjang perkhidmatannya bagi pembangunan kawasan tersebut termasuk rumah ibadat semua agama.

“Saya tidak akan ambil satu ringgit pun gaji ahli parlimen. Semua akan kembalikan kepada masyarakat, yang boleh dibelanjakan untuk rumah ibadat Islam dan bukan Islam,” katanya.

Ramanan yang menggantikan penyandang terdahulu R Sivarasa bakal dicabar bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional dan Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional).

Turut bertanding, Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.


Pengarang :