Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ampang Rodziah Ismail bersama penyokong bersorak selepas pengumuman calon di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang pada 5 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO negeri lawan bekas menteri, sembilan penjuru di Ampang

SHAH ALAM, 5 NOV: EXCO Perumahan negeri Rodziah Ismail yang mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) berdepan saingan sembilan penjuru di Parlimen Ampang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga calon nombor satu dalam kertas undi berdepan Datuk Zuraida Kamaruddin, yang mempertahankan kerusi disandang mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida, bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi memegang kerusi itu selama tiga penggal atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tetapi meninggalkan parti itu pada Februari 2020.

Turut bertanding ialah Ketua Beliawanis MCA Ivone Low Yi Wen mewakili Barisan Nasional (BN), Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang).

Calon lain ialah Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M Raveendran.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Fauzi Mohd Yatim mengumumkan senarai calon bertanding pada 10.57 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Dato’ Ahmad Razali ditutup 10 pagi.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ampang Rodziah Ismail (tengah) bergambar bersama calon-calon lain yang bertanding bagi kerusi itu Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang pada 5 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berikut beberapa kerusi dan calon menarik yang perlu diperhatikan di Selangor:

P093 Sungai Besar Saipolyazan Mat Yusop (HARAPAN) cabar Datuk Muslimin Yahaya (PN)**, Datuk Seri Jamal Md Yunos (BN) dan Asmawar Samat @ Samad – Pejuang

P095 Tanjong Karang Siti Rahayu Baharin (HARAPAN) saingi Datuk Habibah Mohd Yusof (BN*) dan Datuk Zulkafperi Hanapi (PN)

P096 Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad* (HARAPAN) dicabar Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (BN) dan Mohd Noor Mohd Sahar (PN)

P098 Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari (HARAPAN) lawan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (PN)** dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN)

P102 Bangi Syahredzan Johan (HARAPAN*) dicabar Muhammad Nazrul Hakim Nazir (PN), Datuk Hoh Hee Lee (BN)

P106 Damansara Gobind Singh Deo (HARAPAN) saingi Tan Gim Tuan (BN) dan Lim Si Ching (PN)

P107 Sungai Buloh Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN) cabar Datuk R Ramanan (HARAPAN*) dan Mohd Ghazali Md Hamin (PN)

P111 Kota Raja Mohamad Sabu* (HARAPAN) dicabar D Kajendran (BN), Mohamed Diah Baharun (PN)

* selepas nama = penyandang parti sama
* selepas parti = parti tukar calon
** penyandang menang atas tiket parti lawan

 


Pengarang :