Dr Mohamad Sofee Razak (tengah) yang juga seorang peguam diumum sebagai calon HARAPAN Parlimen Padang Serai dalam majlis pengumuman calon di Kulim, Kedah pada 23 November 2022. Hadir sama Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar (kanan) dan Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

HARAPAN pertaruh peguam pertahan Padang Serai pada 7 Dis

KULIM, 23 NOV: Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Kedah Dr Mohamad Sofee Razak diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman calon itu dibuat Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub pada satu majlis malam ini, yang turut dihadiri beberapa pimpinan di peringkat negeri termasuk Pengerusi HARAPAN Kedah Datuk Mahfuz Omar.

Mohamad Sofee, 47, yang juga seorang peguam, menggantikan calon sebelum ini, M. Karupaiya, 69, yang meninggal dunia pada 16 Nov lepas.

Mohamad Sofee sebelum ini pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil pada PRU14.

Sementara itu, Salahuddin dalam ucapannya selepas mengumumkan calon itu berkata pilihan raya Parlimen Padang Serai ini tidak boleh dianggap sebagai pilihan raya tambahan semata-mata kerana ia sangat penting untuk menambah bilangan Ahli Parlimen HARAPAN di Parlimen.

“Beliau (Mohamad Sofee) adalah seorang tokoh pimpinan muda, dari segi kelayakan, ketrampilan dan pengalaman Insya-Allah tidak boleh dipertikaikan untuk kita pertaruhkan dan beliau mampu membawa panji-panji kemenangan PH di Padang Serai pada hari mengundi nanti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan berikutan kematian Karupaiya, dan diadakan pada 7 Dis manakala pengundian awal pada 3 Dis.

Proses penamaan calon pula akan berlangsung esok dengan semua calon lain yang telah disahkan sewaktu hari penamaan calon sebelum ini pada 5 Nov lepas, juga dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon antara 9 pagi hingga 10 pagi bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi.

Lima calon yang disahkan itu ialah Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C Sivaraj (Barisan Nasional (BN)), Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Pada PRU14, Karupaiya yang mewakili HARAPAN menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.

PRU15 Parlimen Padang Serai akan menggunakan 46 pusat mengundi biasa yang mengandungi 230 tempat mengundi (saluran) dan satu pusat mengundi awal yang mempunyai dua tempat mengundi (saluran).

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt akan digunakan untuk pilihan raya itu, yang mengandungi 133,867 orang pemilih terdiri daripada 133,776 pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

— BERNAMA

 


Pengarang :