Jepun menewaskan Jerman dengan keputusan 2-1 dalam aksi kumpulan E di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha Qatar pada 23 November 2022. Foto Reuters
AGENDANASIONAL

Piala Dunia: Jepun tampil aksi cemerlang, kejutkan Jerman 2-1

SHAH ALAM, 23 NOV: Jepun memulakan kempen Piala Dunia 2022 dengan cemerlang apabila menewaskan juara empat kali, Jerman dengan keputusan 2-1 dalam aksi kumpulan E di Stadium Antarabangsa Khalifa sebentar tadi.

Awal permainan menyaksikan perlawanan seimbang apabila kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.

Jerman mendahului 1-0 menerusi jaringan penalti Ilkay Gundogan pada minit ke-33 selepas penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda menjatuhkan David Raum dalam kawasan penalti.

Aksi di babak kedua semakin rancak apabila Jepun lebih agresif dan usaha mereka berhasil apabila pemain gantian Ritsu Doan mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-75.

Jepun mengesahkan kemenangan selepas Takuma Asano berjaya membawa bola dan merembat kencang untuk menewaskan Manuel Neuer pada minit ke-83.

Ini merupakan kejutan kedua dalam edisi Piala Dunia kali ini selepas Arab Saudi menewaskan Argentina dengan keputusan 2-1, semalam.


Pengarang :