Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam program bersama anak muda Gombak di Coffee Box Sri Gombak pada 8 November 2022. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Junjung asas negara, Amirudin gesa rakyat tolak kecurigaan kaum untuk maju

GOMBAK, 9 NOV: Rakyat perlu menolak politik perkauman yang mewujudkan kecurigaan antara satu sama lain sehingga menghalang kemajuan negara, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika mentadbir Putrajaya pada 2018 memulakan usaha membuang nilai buruk itu namun tersekat apabila pentadbirannya dijatuhkan.

Menurut calon HARAPAN Parlimen Gombak itu, beliau percaya tiada satu parti pun mahu menentang Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu seperti didakwa.

“Tetapi hati kita sentiasa diusik-usik..dibakar-bakar politik membangkitkan kemarahan dengan menimbulkan kecurigaan dan ketakutan.

“Ini menghalang kita maju ke depan, pada 2018 Melayu, Cina dan India bersama melawan rasuah…1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sebelum itu tidak pernah terjadi,” katanya pada program anak muda Gombak bersama Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sini semalam.

“Kita kalau hendak berganjak ke depan, kena tangani politik identiti ini atau politik berasaskan kaum ini. Selagi ada kecurigaan selagi itu kita mudah terusik-usik.”

Amirudin berkata sebagai pemimpin Melayu dan Islam beliau mahu melihat kedudukannya sentiasa tinggi namun menegaskan Islam mengajar umat menghormati dan tidak menakutkan penganut agama lain.

Bagi Parlimen Gombak, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar ditentang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional), Datuk Dr Aziz Jamaluddin (Pejuang) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).


Pengarang :