Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah melakukan pemantauan banjir dan air pasang besar di Tanjung Dawai, Kedah pada 24 November 2022. Foto APM Kuala Muda Page
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir seluruh negara turun kepada 899 orang di 13 PPS

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 24 NOV: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara menyaksikan penurunan dengan 899 orang daripada 270 keluarga berada di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan enam daerah masih terkesan banjir iaitu tiga di Perak dan masing-masing satu di Selangor dan Johor.

“Satu PPS telah ditutup iaitu dewan orang ramai Bukit Changgang, Kuala Langat, Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu menurut Jabatan Pengairan dan Saliran, empat sungai berada pada tahap amaran iaitu Long Teru di Miri, Sungai Muar (Segamat), Sungai Kerian (Bandar Baharu) dan Sungai Anak Bukit (Kota Setar).

Dalam pada itu, beberapa kawasan sekitar pantai barat dilaporkan telah dinaiki air awal pagi tadi dan menyebabkan banjir kilat berikutan fenomena air pasang besar.

Antara kawasan terkesan ialah Teluk Intan, Kuala Kedah, Batu Pahat dan Tanjung Dawai. Bagaimanapun kawasan terlibat beransur pulih pada sebelah petang.

Terdahulu, tujuh daerah di tiga negeri masih terkesan banjir dengan 955 mangsa daripada 283 keluarga berada di 15 PPS sehingga jam 8 pagi tadi.


Pengarang :