Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 24 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pasang papan iklan serata DUN, perluas hebahan program negeri kepada rakyat

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat memasang papan iklan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menghebahkan program yang ditawarkan kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu akan diusahakan anak syarikat bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor).

“Saya ambil maklum cadangan wakil rakyat mahukan perkara ini kerana pengendalian papan iklan dilihat mampu memperkemas dan memperluas penyebaran maklumat Kerajaan Negeri.

“Saya memang minta Media Selangor (usahakan) paling kurang satu Ahli Dewan Negeri satu papan iklan bukan untuk menjana pendapatan tetapi bertujuan menyebarkan maklumat Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjelaskan program Kerajaan Negeri sering diuar-uarkan menerusi pelbagai platform termasuk Media Selangor yang memiliki portal dan akhbar empat edisi bahasa (Bahasa Melayu, Mandarin, Inggeris dan Tamil).

“Ia termasuk juga dalam video di SelangorTV serta pelbagai media sosial termasuk Instagram, TikTok, Twitter dan sebagainya.

“Malahan, dalam beberapa bulan lepas saya melihat perkembangan TikTok (Media Selangor) sangat baik melebihi dari pengendali media sedia ada,” katanya.


Pengarang :