Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama kariah Surau Darul Hidayah Pinggiran Batu Caves, di Pinggiran Batu Caves pada 4 November 2022. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk lega masalah pemilikan rumah, surau, Kafa selesai

AZIAN AZIZ

GOMBAK, 5 NOV: Kira-kira 8,000 penghuni Flat Pinggiran Batu Caves di sini berasa lega apabila diberi jaminan masalah pemilikan strata kediaman mereka bakal selesai sepenuhnya tahun depan.

Jaminan diberikan Dato’ Menteri Besar turut disusuli khabar gembir kerana ia termasuk pewartaan tapak tanah Surau Darul Hidayah dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi persendirian dibina penduduk di kawasan berkenaan.

Mohd Noordin Osman. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Koordinator pengeluaran hak milik strata kediaman berkaitan Mohd Noordin Osman, 60, berkata masalah tersebut berpunca apabila syarikat pemaju berdepan masalah menyebabkan proses pemilikan geran tertangguh.

Katanya, ini menyebabkan penduduk terpaksa mendiaminya tanpa status hak milik dan sijil layak menduduki (CF) kira-kira 30 tahun walaupun bayaran ansuran bank telah selesai.

“Alhamdulillah berita gembira diterima ini amat melegakan dan menyelesaikan masalah. Selepas ini kami boleh tukar nama rumah kepada anak-anak. Terima kasih Dato’ Seri Amirudin Shari dan Kerajaan Negeri,” katanya ditemui selepas majlis minum petang bersama Dato’ Menteri Besar di pekarangan Surau Darul Hidayah, Flat Pinggiran Batu Caves di sini.

Che Hamid Che Jusoh. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Sementara itu, pengerusi surau berkata khabar gembira disampaikan Amirudin begitu bermakna kerana selepas ini bangunan surau dan Kafa Intergrasi persendirian akan menjadi milik penduduk sepenuhnya.

“Kafa dibina penduduk adalah untuk anak-anak penghuni flat yang tidak berkemampuan belajar ilmu agama secara percuma dengan dibiayai pihak surau hasil sumbangan orang ramai.

“Jika pewartaan tanah selesai bermakna Kafa ini boleh dikekalkan sampai bila-bila,” kata Che Hamid Che Jusoh.


Pengarang :