Terowong laluan motosikal di bawah Lebuhraya Shah Alam (Kesas) yang menghubungkan Taman Kinrara 1 ditutup sepenuhnya 4 November 2022. Foto ihsan Pejabat EXCO
EXCOSELANGOR

Terowong laluan motosikal di Taman Kinrara 1 ditutup esok

SUBANG JAYA, 3 NOV: Terowong laluan motosikal di bawah Lebuhraya Shah Alam (Kesas) yang menghubungkan Taman Kinrara 1 dengan kawasan tepi Sungai Klang ditutup sepenuhnya esok.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata penutupan itu bagi mengelak berlaku banjir kilat berulang di Taman Kinrara 1 dan 2.

Beliau berkata sebelum ini terowong itu dibuka kerana ada loji Indah Water Konsortium (IWK) tetapi kini loji itu sudah tidak digunakan.

“Tiada keperluan untuk kita kekalkan (terowong) itu, justeru Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bakal menutup terowong ini segera untuk menangani banjir daripada berulang di Taman Kinrara 1 dan 2,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kompleks dan Kemudahan Awam MBSJ di Taman Wawasan Pusat Bandar Puchong hari ini.

Mengulas persediaan mendepani bah sekiranya berlaku, beliau berkata Kerajaan Negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa bersiap siaga.

“Kerja-kerja pengorekan dan pedalaman sungai sudah bermula malah baru-baru ini Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) turut umumkan projek mahu mendalamkan Sungai Klang bagi menangani banjir,” katanya.

Baru-baru ini, Amirudin mengumumkan projek mendalam dan melebarkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer bagi mengatasi banjir.

Projek melibatkan kos RM700 juta itu merangkumi empat blok utama yang dijangka siap lima tahun lagi.

 


Pengarang :