Pengundi Gombak menunaikan kewajipan sebagai pengundi sempena pilihan raya umum ke-15 di pusat mengundi Sekolah Rendah Klang Gate pada 19 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Untung rugi bertukar parti: Siapa menang, siapa kalah?

SHAH ALAM, 20 NOV: Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam menyaksikan beberapa nama besar dalam politik gagal mempertahan kerusi yang ditandingi.

Antara yang menjadi tumpuan ialah enam bekas ahli parlimen yang sebelum ini menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tewas di kawasan masing-masing.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN) gagal mempertahan Gombak apabila tewas kepada Dato’ Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (HARAPAN).

Amirudin memperoleh 72,267 undi diikuti Mohamed Azmin (59,538) manakala Datuk Megat Zulkarnain Omardin daripada Barisan Nasional meraih 30,723 undi.

Mohamed Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor antara individu yang dikaitkan dengan Langkah Sheraton mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

Di Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang membentuk Parti Bangsa Malaysia bukan hanya tewas kepada calon HARAPAN Rodziah Ismail, malah turut hilang deposit.

Nama-nama besar lain yang tewas termasuk Datuk Mohd Rashid Hasnon (PN-Batu Pahat), Datuk Kamarudin Jaffar (PN-Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (PN-Nibong Tebal) dan Baru Bian (PSB-Lawas).

Bagaimanapun, ada juga pemimpin termasuk dari Umno berjaya memenangi serta mempertahan kerusi ditandingi atas tiket parti lain. Mereka antaranya:

1. Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota)
2. Datuk Ali Biju (PN-Saratok)
3. Datuk Jonathan Yasin (Gerakan Rakyat Sabah-Ranau)
4. Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo)
5. Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau)
6. Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah)
7. Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran)

PRU15 menyaksikan HARAPAN memperoleh 82 kerusi, PN (73) manakala BN (30). Majoriti mudah untuk membentuk kerajaa ialah 112 kerusi.

Pengarang :