Suami isteri Jaafar Yakob, 75, dan Zaidah Yusoff, 62, menggunakan perahu meredah banjir untuk urusan mendaftar masuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kubang Kual berikutan rumah mereka ditenggelami air pada 11 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

2,355 mangsa banjir di lima negeri ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan, Johor dan Perak meningkat setakat 8 malam ini manakala Pahang merekodkan penurunan kepada 561 mangsa berbanding 581 orang di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan daerah Temerloh masih mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 383 orang diikuti Lipis (83 orang), Raub (48), Bera (27) dan Jerantut (20).

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 593 orang daripada 151 keluarga berbanding 546 orang daripada 137 keluarga petang tadi.

Sekretariat JBPN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan Dungun menjadi daerah baharu dilanda banjir selain Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman dengan keseluruhannya 10 PPS dibuka.

Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 282 orang yang ditempatkan di tiga PPS manakala 220 lagi di dua PPS di Kuala Nerus.

Di Kuala Terengganu, 48 mangsa ditempatkan di dua PPS diikuti Dungun iaitu 39 orang di dua PPS dan Setiu menyaksikan empat mangsa di satu PPS.

Di Kelantan, empat PPS di Rantau Panjang, Pasir Mas kini menempatkan 1,049 orang daripada 341 keluarga terjejas membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh (590 orang), SK Gual Periok (282), PPS Putat Tujoh (83) dan SK Kubang Gual (94).

Di Johor, jumlah mangsa banjir di PPS di Segamat meningkat kepada 27 orang berbanding 22 pada 12 tengah hari.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan mangsa terdiri daripada sembilan keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak serta Kampung Batu 5 dan kini ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak manakala banjir dipercayai berlaku susulan limpahan air Sungai Muar.

Data Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan bacaan paras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat melepasi paras bahaya dengan bacaan 20 meter manakala Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada aras amaran iaitu 8.87 meter.

Di Perak, PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART) di Teluk Intan menyaksikan peningkatan mangsa banjir selepas dibuka pada Jumaat.

Menurut Sekretariat JPBN Perak, mangsa banjir meningkat daripada 117 kepada 125 orang melibatkan 29 keluarga dan antara kawasan terlibat ialah Kampung Batu 7, Batu 8 dan Batu 9 di Changkat Jong dalam daerah Hilir Perak.

– BERNAMA


Pengarang :