Anggota Bomba dan Penyelamat Dengkil melakukan proses memindahkan anggota keluarga termasuk kanak-kanak yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Sri Tanjung, Dengkil pada 17 November 2022. Foto BERNAMA
AGENSI SELANGOR

Banjir di Dengkil, 179 mangsa masih berada di pusat pemindahan

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 179 mangsa banjir dari tiga buah kampung di Dengkil masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak Selasa lalu.

Menurut jurucakap Pusat Operasi Smart Selangor (SSOC), tiga PPS terlibat ialah Dewan Taman Gemilang, Dewan Orang Ramai Dengkil dan Dewan Orang Ramai Kampung Dato’ Ahmad Razali.

“Jumlah mangsa yang terlibat iaitu 54 mangsa daripada 13 keluarga dari Kampung Ampar Tenang dan Kampung Sri Tanjung ditempatkan di PPS Dewan Taman Gemilang dan 45 mangsa daripada 13 keluarga lagi ditempatkan di Dewan Orang Ramai Dengkil

“Selain itu 80 mangsa daripada 22 keluarga dari Kampung Cemperai pula ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Dato’ Ahmad Razali sejak 30 November lalu,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap itu memberitahu, SSOC akan terus memantau dan membuat tindakan susulan berhubung kejadian yang berlaku serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Sebarang maklumat mengenai banjir boleh menghubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian : 03-5650 0501, 0502, 0503, 0504, 0505, 0506 dan 0507 atau talian 999 jika berlaku kecemasan.

Pada 29 November lalu puluhan penduduk di Kampung Ampar Tenang, Dengkil dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat akibat ban pecah.


Pengarang :