Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah (tengah) dan Ahli Lembaga Pengarah Teras Indera Shahril Mohd Shahid (kanan) melawat pameran usahawan asnaf jahitan Teras 2022 di Atria Warisan Kompleks PKNS Shah Alam pada 23 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantu tingkat jualan, usahawan asnaf dihimpun dalam pameran di Kompleks PKNS

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 16 usahawan asnaf dihimpunkan dalam program Pameran dan Jualan Usahawan Jahitan 2022 di Kompleks PKNS di sini.

Usahawan asnaf di bawah Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) itu mempamerkan produk jahitan selama tiga hari bermula hari ini.

Ahli Lembaga Pengarah Teras Indera Shahril Mohd Shahid berkata objektif program tersebut adalah membantu usahawan asnaf terus berkembang dan merebut peluang pasaran.

“Mereka ini kebanyakannya terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin. Mereka juga mahu majukan diri sendiri.

“Dengan adanya peluang pasaran ini, diharapkan dapat membantu mereka menambah pendapatan dan keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.

Pengasas Usahawan Sosial Selangor Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah turut berkenan meluangkan masa menghadiri majlis berkenaan.

Teras adalah anak syarikat dibawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang bertanggungjawab membangun, mengurus, dan mengawal pembangunan usahawan asnaf di Selangor.


Pengarang :