Anggota bomba ketika melakukan operasi menyelamat dua pelajar universiti swasta ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Chiling di Peretak, Kuala Kubu Bharu pada 30 Disember 2022. Foto Bomba Selangor
AGENDANASIONAL

Dua pelajar universiti mati lemas ketika mandi di Sungai Chiling

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Dua penuntut sebuah universiti swasta ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Chiling di Peretak, Kuala Kubu Bharu, dekat sini, tengah hari tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Shaik Rahim Khan Salauddin dan Muhammad Arief Haiqal Azhan, kedua-duanya berusia 21 tahun.

Mereka dipercayai bersama lima lagi rakan berkunjung ke sungai itu untuk mandi-manda dan aktiviti perkelahan pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 12 tengah hari manakala lima anggota bersama sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, didapati seorang daripada mangsa telah dibawa naik ke darat oleh orang awam dan diberi bantuan pernafasan oleh pasukan penyelamat.

“Mangsa kedua pula dikeluarkan pihak bomba pada 12.45 tengah hari selepas melakukan pencarian di kawasan kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat mereka dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

-BERNAMA


Pengarang :