Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani plak sebelum menyertai solat Jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru tengah hari tadi. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Ziarah perdana menteri imbau kenangan rasmi Masjid Kampung Melayu Majidee 27 tahun lalu

JOHOR BAHRU, 30 DIS: Sambutan hangat masyarakat di Masjid Kampung Melayu Majidee di sini, seperti mengembalikan nostalgia kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah berkunjung ke negeri ini untuk merasmikan pecah tanah bangunan itu, 27 tahun lepas.

Anwar, yang kali pertama mengadakan lawatan kerja ke negeri itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, diiringi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Masjid yang berusia 70 tahun itu, hari ini menerima jumlah pengunjung ‘luar biasa’, kira-kira 3,000 orang yang sebahagian besarnya hadir untuk melihat sendiri pemimpin nombor satu negara itu.

Keadaan kecoh sedikit selepas selesai solat Jumaat apabila orang ramai berpusu-pusu menghampiri Ahli Parlimen Tambun itu untuk merakam gambar dan video selain ada segelintir daripada mereka turut melaungkan ‘Reformasi’.

Ketua Imam dan setiausaha masjid itu Mohamad Izuddin Hassan berkata Perdana Menteri sempat menzahirkan kegembiraan dan penghargaan kerana kedatangannya disambut meriah.

“Kami sempat berbual mesra dengan beliau, apa yang boleh kami kongsikan adalah beliau amat gembira kerana kedatangannya disambut dengan meriah.

“Beliau sempat juga berkongsi kegembiraan kerana dapat menikmati murtabak yang diidamkan,” katanya ditemui selepas selesai solat Jumaat.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di sini, yang merupakan pertemuan kali kedua selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Turut berkenan berangkat pada pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau kemudiannya meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk makan tengah hari bersama masyarakat dan pemimpin tempatan di Restoran Murtabak Kampung Melayu Azo 96 sebelum menunaikan solat jumaat di masjid berkenaan.

Beliau turut menandatangani plak kenangan di hadapan masjid itu yang disifatkan simbolik selepas 27 tahun, yang pernah menyaksikan Anwar, merasmikan pecah tanah pembinaan bangunan baharu masjid berkenaan pada 1995 ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

– BERNAMA


Pengarang :