Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah memberi bayangan untuk menyusun pengurusan ke arah lebih baik bagi menghadapi saingan musim depan.
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Giat susun rancangan, Tengku Amir Shah cetus kebangkitan Selangor FC

Status Selangor FC sebagai naib juara TM Piala Malaysia membuka mata banyak pihak khususnya peminat Red Giant yang resah lantaran prestasi hambar dalam saingan liga musim ini.

Keterujaan ‘pemain ke-12’ itu mula melonjak sejak jurulatih berpengalaman Tan Cheng Hoe, juga bekas pengendali Harimau Malaya, dilantik sebagai jurulatih skuad tersebut.

Sejak itu, kemenangan kerap diraih. Daripada tangga kelapan liga kepada kedudukan kelima, ditambah pula kejayaan mara ke perlawanan akhir kejohanan antara tertua di rantau Asia.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku pengerusi tentunya terlibat dalam merencana pelbagai perancangan bola sepak negeri termasuk kebangkitan semula Selangor FC.

Dalam titah pada 30 Ogos, Baginda memberi bayangan untuk menyusun pengurusan sukan itu ke arah lebih baik bagi menghadapi saingan musim depan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bergambar bersama peserta Karnival Sekolah Bola Sepak Selangor FC di Padang Sintetik Seksyen 28, Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto Facebook Selangor FC

“Beberapa pelantikan teknikal baharu termasuk pengarah sukan, pengarah teknikal, bahagian kejurulatihan, serta langkah lain perlu diambil untuk memperkuatkan pasukan utama Selangor FC,” titah Baginda.

Turut dilantik, bekas pemain legenda K Sanbagamaran sebagai penasihat teknikal pasukan utama pada 24 September. Selangor FC dijangka menampilkan strategi baharu dan corak permainan lebih tersusun.

Tanpa kejuaraan sejak 2015, peminat ternanti-nanti trofi pertama sejak pasukan itu berstatus kelab, lebih-lebih lagi kejayaan 33 kali menjulang Piala Malaysia segar di hati peminat. Mereka juga mahu beraksi di pentas Asia 2024.

Lahir bakat baharu

Tengku Amir Shah selaku presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) juga giat menyusun perancangan bagi mencungkil bakat pada peringkat akar umbi.

Penubuhan Selangor Youth Community (SAY) cetusan idea Baginda membantu pembangunan belia dengan memperkenal kejohanan Selangor Champions League (SCL) pada 2016.

Pertandingan itu menghimpunkan juara pelbagai liga amatur untuk merebut gelaran pasukan amatur terbaik. Football Selangor yang ditubuh pada 2017 memainkan peranannya menyatukan masyarakat bola sepak amatur di negeri ini.

Saban tahun, penganjuran SCL menjadi tumpuan pasukan amatur. Sebanyak 16 pasukan bertanding dalam edisi tahun ini. SCL yang turut disertai beberapa bekas pemain kebangsaan menjadi liga berprestij di Selangor.

FAS juga bekerjasama dengan lebih 36 penganjur liga-liga amatur persendirian di seluruh negeri bawah program Affiliated League. Ada dua kategori liga iaitu slot automatik dan pusingan kelayakan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kiri) berkenan menerima kunjungan dan memberi penerangan kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dan delegasi FAM berhubung kemudahan disediakan di Pusat Latihan FAS, Shah Alam pada 28 Februari 2022. Foto Facebook Selangor FC

Enam liga amatur dengan prestasi terbaik mendapat slot automatik. Liga lain mendapat dua slot ke pusingan kelayakan dan seterusnya pasukan terbaik mara ke saingan SCL.

Liga Junior FAS pula melibatkan pasukan kategori bawah-14 dan bawah-17 yang disertai akademi tunas dan pusat latihan daerah di sekitar Lembah Klang.

Bagi FAS Youth League, bakat baharu bagi kategori umur bawah-20 tahun dan bawah 18 tahun diserap dalam skuad Piala Presiden dan Piala Belia Selangor FC.

Tengku Amir Shah juga tidak meminggirkan bakat wanita dalam sukan bola sepak apabila memperkenal Liga Super Wanita FAS (FAS WSL).

Diasaskan pada 2021, FAS WSL memberi ruang kepada wanita mempamer bakat dalam bola sepak. Edisi pertama menobatkan pasukan Negeri Sembilan sebagai juara sulung dengan menewaskan Footsouls 1-0.


Pengarang :